Telah berlaku suatu peristiwa di dalam abad ini ke atas seorang wanita Mesir yang bergerak di dalam harakah Islamiah di Mesir yang dapat dijadikan tauladan. Semasa perkahwinan akan dijalankan di antaranya dengan suaminya, Zainab Ghazali telah mengenakan syarat supaya suaminya membenarkannya untuk bergiat di dalam harakah Islamnya. Katanya, “Hak saya untuk membuat syarat kepada engkau supaya tidak menghalang saya untuk berjihad di jalan Allah S.W.T, di mana saya telah diletakkan tugas-tugas dan tanggungjawab sebagai mujahidin di dalam harakah ini. Janganlah engkau bertanya apa yang akan saya buat, tetapi hendaklah engkau yakin dan percaya sepenuhnya akan tindakan saya.”
Dia memperingatkan suaminya lagi, “Sekiranya berlaku Pertembungan di antara perkahwinan dengan dakwah, akan berakhir perkahwinan dan kekal dakwah kepada Allah SWT. Saya minta kepada engkau supaya menunaikan janji engkau. Janganlah engkau tanya siapakah saya akan berjumpa. Saya berdoa kepada Allah SWT supaya Allah jadikan balasan jihad yang saya lakukan ini sebahagiannya untuk engkau, sekiranya amal saya ini diterima oleh Allah SWT.”
Apakah kegiatan-kegiatan yang dilakukan oleh Zainab Ghazali dan rakan-rakannya untuk harakah Islamiah?
Contoh seorang Muslimah Abad 20
Siapakah Zainab Al Ghazali Al-Zubaili? Zainab Al Ghazali Al-Zubaili nama sepenuhnya. la dilahirkan di sekitar tahun 1917, di awal abad dua puluh ini, 65 tahun usianya ketika ini. Mula ditahan dalam tahun 1965, ketika itu usianya sekitar 44 tahun. Akibat dari penyeksaan yang dahsyat yang ditanggungnya dalam tahanan ketika diambil statement oleh pendakwa, mereka menyangka umurnya lebih 90 tahun, pada hal umurnya ketika itu 44 tahun - menunjukkan betapa beratnya seksaan yang dilakukan oleh rejim Jamal Abdel Nasser.
Zainab Al-Ghazali mengasaskan penubuhan “Jamaah Saidatina Muslimah”. Satu gerakan wanita yang selari dengan Ikhwan Muslimin yang mempunyai method cara dan matlamat yang sama dengan Ikhwan Muslimin. Meski pun beliau dipilih menjadi ketua pertama Jamaah itu, namum beliau telah berbai’ah dengan Mursyidul Ikhwan Muslimin, Hassan Al-Banna, pada penghujung abad 14 hijrah beliau ditugaskan memimpin Jemaah Saidatina Muslimah.
Tujuan jamaah ini ialah untuk memimpin wanita Islam dan menyedarkan mereka serta mengangkat darjat mereka untuk menyebarkan panji-panji Islam, agar memahami Islam, agar wanita-wanita Islam dapat menjalankan peranan wanita dengan mengikut contoh wanita salafus soleh. Dengan itu mereka berkeyakinan umat Islam akan dapat dibangunkan semula dan negara Islam akan dapat ditegakkan dengan lelaki yang dididik oleh wanita yang bernaung di bawah Al-Quran dan As-Sunnah. la berjuang meletakkan wanita sebagai ibu yang dapat mendidik rijal (pejuang) untuk membangunkan Islam.
Ketika itu proses pembaratan sedang hebat berlaku di Mesir. Kemasukkan sosial budaya barat sedang berlaku dan terus melanda budaya umat Islam - pakaian, tingkah laku dan pemikiran mereka sedang hanyut dalam budaya Barat yang menuju ke arah kehancuran. Inilah dia belenggu sekularisma. Zainab Al-Ghazali berjuang membebaskan belenggu sekularisma ini.
Beliau sangat yakin bahawa masa depan umat ini bergantung kepada peranan ibu-ibu, oleh kerana itu gerakan beliau ini antaranya untuk memberi pimpinan yang wajar pimpinan Islam kepada wanita Islam. Untuk melahirkan rijal, tenaga lelaki yang bersedia menjualkan dirinya untuk Islam. Tanggungjawab umat hari ini, sangat berat iaitu membebaskan diri dari kongkongan dan cengkaman sekularisma yang menguasai negara mereka, membebaskan diri mereka daripada jahiliyah yang sedang mengongkong hati dan pemikiran mereka. Tanggungjawab ini sangat berat. Sekularisma bukan sahaja wujud sebagai teori semata-mata bahkan ia wujud sebagai institusi yang mengikat teguh sesamanya.
Beliau berkeyakinan bahawa Daulah Islam akan tetap ditegakkan kembali dengan izin Allah SWT dengan syarat melalui satu jalan iaitu JALAN ISLAM. Negara Islam tidak dapat ditegakkan dengan lain-lain jalan kecuali JALAN ISLAM. Menurut beliau lagi, cara utama untuk kembali kepada JALAN UTAMA ini ialah Revolusi Pemikiran (Thaurah Fikriyah) - satu revolusi yang dapat mengubah pemikiran Jahiliyah kepada pemikiran Islam, berdasarkan 'aqidah Islam. Ini memerlukan Tarbiyah - pendidikan amali untuk membentuk sikap, tindakan-tindakan dan tingkah laku serta pemikiran Muslim dan Muslimah menjadi pemikiran Islam.
Beliau menyebutkan ini sebagai langkah awal dalam pembentukan Daulah Islam. Beliau fahami ini daripada Al-Quran tentang sunnah perubahan. Sebagaimana firman Allah SWT yang maksudnya, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu kecuali mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.”
Bahawa perubahan itu tidak akan berlaku kecuali adanya perubahan diri itu, yang difokuskan kepada jiwa dan hati manusia. Ini merupakan satu macam ketentuan - sunnatullah dalam mengatur perubahan sejarah. Bahawa perubahan diri ini bermula dengan perubahan pemikiran, peribadi dan tingkah laku diri manusia. Inilah fahaman beliau yang mendalam tentang Islam. Beliau menganjurkan untuk menuju kepada Daulah Islam, hendaklah mengadakan revolusi pemikiran perubahan yang pantas seperti sikap para sahabat.
Beliau memetik kata-kata Syed Qutb dalam memperkatakan Jilun - Quraanun - Fariid, satu generasi Quran Yang Unik, bila mereka memeluk Islam, mereka sekali gus meningggalkan ciri-ciri Jahiliyah secara menyeluruh. Perubahan atau Revolusi yang pantas dan cergas ini dilakukan dan seluruh pandangan mereka tentang nilai-nilai hidup dilihat mengikut neraca Islam, bukan neraca dunia atau Jahiliyah. Beliau memahami bahawa langkah-langkah yang dijalankan oleh Rasulullah SAW dalam Dakwah baginda. Langkah pertama dalam membuat perubahan ialah melalui Tarbiyah atau pendidikan keatas para sahabat, mereka dididik oleh Rasulullah SAW bukan pada teori bahkan pada diri dan tingkah laku mereka. Tarbiyah ini meliputi Tarbiyah Rohani dan Jasmani.
Tarbiyah yang menekankan kepada pembentukan Iman yang mendalam, sehingga tercerna dan lahir dalam tingkah laku mereka, sehingga Al-Quran tercerna dan tercetak pada diri dan tubuh badan mereka. Sehingga segala tindakan mereka adalah Islam - di lihat sahaja pada diri salah seorang dari mereka sudah ternampak akan Islam, ternampak akan Daulah Islam pada diri mereka, dan seterusnya hidupnya adalah Islam. Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW yang mendidik jiwa mereka melahirkan manusia mithali yang unggul dalam sejarah peradaban manusia. Demikianlah natijah hasil dari didikan Iman, yang jelas pada sirah para sahabat. Lihatlah!! Seorang pemuda yang kacak dan anak tunggal dari keluarga hartawan, Mus’ab ‘Umair namanya - ia yakin dengan ajaran Muhammad SAW dan terus memeluk Islam sebagai agamanya, sehingga akhir hayatnya. Setelah ibunya mengetahui bahawa Mus’ab mengikut ajaran Muhammad SAW, maka ia mengugut tidak akan memberi harta warisan kepada Mus’ab, seandainya ia tidak mahu kembali kepada agama nenek moyangnya. Mus’ab sudah bulat keimanannya, demikianlah hasil didikan Rasulullah SAW terhadapnya ia terus beriman dengan ajaran Muhammad SAW. “Aku memilih ajaran Muhammad dari memilih harta kekayaan.” Ibunya pula terus bersumpah, ia tidak mahu makan sehingga Mus’ab kembali kepada agama asalnya. Sebaliknya Mus’ab pula bersumpah, “Seandainya ibuku mempunyai 100 nyawa, dan keluar satu demi satu dari tubuhnya aku tetap dengan ajaran Muhammad SAW, aku tetap dengan kalimah LAILAHA ILLALLAH, namun aku tinggalkan Islam, sekali-kali tidak.” Inilah kesan yang terus menerus dari Tarbiyah, Mus’ab ketika syahid di medan Jihad, tatkala kain yang ada padanya untuk ditutupkan ke atas tubuhnya tutup kepalanya, terdedah kakinya, tutup kakinya terdedah kepalanya. Akhirnya Rasulullah SAW memerintahkan bahagian kepalanya ditutup dengan kainnya dan bahagian kakinya ditutup dengan daun kayu. Demikianlah Mus’ab sanggup meninggalkan kesenangan dan kekayaan, dan rela mengorbankan dan menjual dirinya kepada Islam… semoga syurga firdaus ganjarannya. Pengorbanan demikian tidak sanggup dilakukan oleh manusia kecuali mereka yang dididik dengan Iman. Inilah sebagai satu syarat yang diwujudkan oleh Zainab Al-Ghazali, agar Negara Islam dapat dikembalikan.
Semasa beliau memimpin Jamaah Saidatina Muslimah, beliau telah dapat membawa masuk ramai wanita-wanita Islam di Mesir dan mereka telah dibentuk dan dididik mengikut model Tarbiyah Madrasah Rasulullah SAW. Di antara mereka yang rapat hubungan dengan Zainab Al-Gahazali ialah dua saudara Syed Qutb, Aminah Qutb dan Hamidah Qutb, Halidah Hassan Al-Hudaibi, Al-Hayah Sulaiman Al-Zubair, Fatiraah Al-Fath, Aminah Al-Jauhati, Al-Waliyah Al-Hudaibi dan Al-Afdah. Mereka inilah yang beliau sifatkan sebahagian dari mereka sebagai sebahagian anak-anaknya, sebahagian dari mereka sebagai adik-adiknya, sebahagian dari mereka sebagai kakak-kakaknya, dan sebahagian dari mereka sebagai ibu-ibunya. Kerana di antara mereka ada yang berumur 85 tahun, Ummi Ahmad namanya, ia telah di tangkap oleh rejim Jamal Nasser ketika ia berusia 85 tahun, ketika Zainab mendengar berita itu, ia memperkatakan bahawa ini adalah petanda baik bagi Islam. Musuh-musuh Islam telah gentar kepada wanita Islam yang telah tua lagi uzur. Ini menunjukkan hasrat dan minat terhadap Islam terlalu tinggi. Musuh-musuh Islam telah gentar, mereka tidak dapat membezakan antara yang bertenaga dan tidak bertenaga, antara wanita dan lelaki, antara tua dan muda, semuanya sama sebagai musuh mereka.
Setelah Mursyidul 'Am Hassan Al-Banna syahid dimamah peluru durjana yang tidak mengenal insan beriman atau tidak, Zainab Al-Ghazali terus berbai’ah kepada Hassan Al-Hudhaibi, Mursyidul 'Am pengganti Hassan Al-Banna. Ia terus mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pimpinan Ikhwan Muslimin. la mendengar pandangan mereka dan mengambil pengajaran daripada mereka.
Beliau bersuami, suaminya seorang yang dihormati, seorang ‘Ulama yang berilmu tinggi dan sangat kuat memberikan dorongan kepada isterinya untuk meneruskan dakwah ditengah-tengah masyarakat manusia di Mesir. Zainab Al-Ghazali menceritakan ketika penyeksaan yang dihadapinya di penjara sampai kemuncaknya, mereka telah menggunakan berbagai cara bagi melemahkan jiwa dan rohnya menyebabkan ia terpaksa dibawa ke hospital. Rejim Jamal Abdel Nasser memaksa suaminya menceraikannya dan membawa surat cerai itu ke dalam bilik kurungan di hospital, di mana Zainab sedang dirawat. Ketika saudara-saudaranya melawatinya mereka menceritakan ketika suaminya dipaksa menceraikan Zainab Al-Ghazali, ia bersumpah “sekali-kali tidak, aku menceraikan isteriku”. Demikianlah keteguhan, kesetiaan dan pengorbanan suaminya, sehingga ia kembali menemui Tuhannya ketika Zainab Al-Ghazali masih dalam Tahanan.
Kisah tahanan ke atas Zainab Al-Ghazali adalah sangat mengagumkan, kerana seorang wanita telah dapat menanggung penyeksaan yang lebih berat dari penyeksaan ke atas lelaki. Beliau menyebutkan, sebelum ia ditahan, Jamal Nasser memerintahkan Jamaah Saidatina Muslimah dibubarkan dengan menghantar notis melalui mahkamah, dan akan menarik notis pembubaran itu dengan syarat Zainab Al-Ghazali mestilah berkerjasama dengan Parti Istrokiyah. Zainab Al-Ghazali menolak, kemudian ia ditawarkan menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat, beliau menjawab, “Dalam perjuangan ku tidak bercadang untuk menjadi menteri aku hanya mahu berdakwah” Jamal Nasser telah putus asa memujuk Zainab Al-Ghazali untuk masuk Parti Istrokiyah, Jamal Abdel Nasser memerintahkan untuk menangkap Zainab Al-Ghazali Sewaktu beliau dibawa keluar dari rumahnya satu pembunuhan telah dirancangkan, sebuah kereta merempuh kereta yang membawa Zainab Al-Ghazali. Setelah rancangan awal ini gagal, akhirnya Zainab ditahan, setelah di tangkap semula, setelah dibebaskan pada tahun 1964.
Zainab Al-Ghazali terus dibawa ke penjara dengan sebuah kereta, dalam perjalanan itu dimaki hamun yang tidak dapat diterima oleh akal dan tidak dapat digambarkan oleh fikiran. Setelah sampai ke penjara ia diseret ke bilik kurungan dengan kata-kata yang kesat, yang tidak wajar dihadapkan kepada binatang, apatah lagi kepada manusia. Mereka mengugut untuk membunuhnya seperti mana yang mereka lakukan kepada berpuluh-puluh anggota Ikhwan Muslimin, mereka mengugut untuk menanam hidup-hidup seperti mana yang mereka lakukan kepada berpuluh-puluh orang yang sealiran dengan Zainab Al-Ghazali. Dengan kata-kata yang kasar, ia diheret ke bilik kurungan oleh seorang lelaki yang bertubuh besar seperti syaitan hitam. Zainab Al-Ghazali mengesahkan saya berdoa dalam hati saya, “Ya Allah, kurniakanlah ke atas ku ketenangan, dan tetapkanlah pendirian ku bersama-sama pendukung-pendukung kebenaran, dan tabahkanlah hati ku dengan mengingati Engkau, dan kurniakanlah akan daku keredhaan dengan perkara yang Engkau redhai.”
Itulah yang dapat saya katakan. Kemudian saya terus dimasukkan ke dalam bilik kurungan. Dalam bilik kurungan itu ada dua orang lelaki (syaitan) yang sedang duduk di atas meja membelek-belek buku catatan, yang saya tahu itu adalah buku catatan Syahid Abdul Fatah Ismail. Tahulah saya bahawa Abdul Fatah juga ditangkap ketika itu.
Di waktu itu saya mendengar azan Asar, saya bersyukur kerana Allah SWT telah menyelamatkan saya daripada ‘keganasan syaitan’. Saya dapat menunaikan sembahyang, dan tiba-tiba datang lagi syaitan durjana, dengan sikap yang kasar dan keras memerintahkan saya ke sel kurungan. Saya diheret ke sel kurungan dan penyeksaan pun bermula. Semasa saya diheret ke sel kurungan, saya melihat dalam sel penjara itu tubuh-tubuh manusia yang diseksa, tahulah saya bahawa mereka dari keluarga Ikhwan Muslimin. Mereka sedang diseksa dan dipukul, memenuhi sel-sel penjara itu. Mereka adalah pemuda-pemuda yang saya sifatkan sebagai anak-anak saya, pemuda yang pernah dan sering datang meminta pengajaran dan nasihat dari saya. Saya berdoa, “Ya Allah tetapkanlah pendirian kami, Ya Allah peliharalah kami daripada kejahatan orang-orang yang jahat.”
Saya dimasukkan ke dalam sel kurungan, kuasa letrik Dinyalakan dengan kuat, sebagai satu bentuk penyeksaan. Bilik itu dipenuhi anjing-anjing, anjing-anjing yang saya tidak tahu berapa banyak bilangannya. Anjing-anjing itu dilepaskan kepada saya, saya memejamkan mata dan meletakkan dua tangan saya ke dada saya, kerana saya gerun melihat anjing-anjing ganas lagi lapar itu. Saya dengar pintu ditutup dengan rantai dan dikunci. Saya merasai seluruh tubuh saya dikerumuni dan digigit oleh anjing itu. Saya membuka mata dan kemudian memejamkan mata saya, kerana penyeksaan yang amat sangat. Ketika itu saya berdoa kepada Allah SWT dalam hati saya, dan anjing-anjing itu terus menggigit dan menggigit, merobak-rabikkan dan memanjat-manjat seluruh tubuh saya - itulah yang saya rasai. Saya berdoa, “Ya Allah!!! Tetapkanlah hati ini dan palingkanlah hati dari yang lain, ya Allah, agar hati ini melupakan penyeksaan ini. Ya Allah!!”
Kemudian saya dengar pintu dibuka orang, dan saya dibawa keluar. Saya menyangka pakaian saya yang putih bersih ini berlumuran darah, itulah yang saya rasai dan sangkakan. Alangkah terkejutnya saya, tiada apa-apa kesan, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Saya tahu bahawa Allah SWT bersama-sama dengan saya. Maha suci Engkaulah Wahai Tuhan ku.
Beliau mengeluh dan merasai nikmat kurniaan Allah yang tinggi serta kemurahan Allah SWT kepadanya dan pemeliharaan Allah kepadanya. Zainab Al Ghazali menceritakan; syaitan yang memegang tangan saya bertanya kepada saya: Bagaimana anjing-anjing itu tidak merobak-rabikkan daging engkau. Bagaimana anjing itu tidak menggigit engkau!!! Ada dua orang syaitan ketika itu, masing-masing memegang belantan di tangan mereka. Waktu itu hari hampir 'Isyak…kerana bayang-bayang dari luar kelihatan kemerah-merahan. Saya dibiarkan bersama anjing-anjing itu selama tiga jam. Inilah satu bentuk penyeksaan yang saya rasai…saya berserah bulat kepada Allah SWT kerana lebih berkuasa dari segala-galanya. Kemudian peningkatan penyeksaan pun diteruskan. Satu ketika saya direndam dalam air sejuk, pada hal ketika itu musim sejuk, dilepaskan pula udara sejuk.
Beliau menyatakan, satu ketika ia melihat surat arahan tulisan tangan Jamal Abdel Nasser (laknatullah ‘alaih) kepada pegawai penjara yang memerintahkan supaya Zainab Al-Ghazali diseksa lebih dari seksaan terhadap lelaki.
Demikianlah segala macam penyeksaan mereka lakukan. Bermula dengan gigitan anjing-anjing, ke dalam sel yang berisi air dan udara sejuk dan macam-macam lagi penyeksaan, dengan segala sepak terajang dan pukulan-pukulan cota yang menyebabkan Zainab Al-Ghazali terpaksa dirawat di hospital beberapa kali. Beliau mengesahkan, satu hari pengawal penjara yang ditugaskan untuk memukulnya, tidak mahu memukulnya. Ia berkata, “Duhai Makcik ku (Ya Khali), tidak sanggup saya memukulmu, tidak ada sebab mengapa harus saya memukul mu, Ya Khali.” Rupa-rupanya ketika itu, ketua penjara mengintai perbualan mereka, ia menyeret keluar dan memaki hamun pemuda itu. Pada esok harinya, ketua penjara memberitahu kepada Zainab Al-Ghazali, pemuda itu ditembak mati.
Pegawai penyeksa-penyeksa di penjara terkejut kehairanan bagaimanakah keseksaan yang amat berat itu sanggup ditanggung oleh wanita yang lebih berat penyeksaan yang ditanggung oleh lelaki dan tidak sanggup ditanggung oleh sebarangan lelaki. Iman seorang wanita yang kebal dan kental, lebih kuat dari bubur - Muhathah. Mereka amat takjub dan mereka mengatakan, ini adalah suatu perkara yang luar biasa. Salah seorang dari mereka datang berjumpa dengan Zainab Al-Ghazali. Ia bertaubat dan meminta Zainab untuk mengajarnya Islam dan bagaimanakah hendak mendirikan solat. Ini menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja dilatih keganasan fizikalnya, malah dilatih dengan fahaman mereka.
Oleh kerana itu ada di antara mereka berkata kepada Zainab Al-Ghazali: Kamu sering berkata tentang Neraka Jahanam. Sekarang kamu berada dalam neraka Jamal Abdul Nasser. Mintalah keampunan dari Nasser atau Engkau terima syarat-syarat yang ditawarkan olehnya. Ketika Zainab berkata: Allah…Allah…., salah seorang dari mereka berkata: Seandainya kami nampak Allah yang kamu sebut itu, kami akan tangkap ia dan penjarakan bersama-sama kamu. Inilah kekufuran yang berlaku. Inilah yang menyebabkan mereka takut dan gentar kepada gerakan Islam.
Kemudian beliau dibicarakan dalam mahkamah pura-pura, beliau dipenjara seumur hidup. la dipenjara bersama-sama dengan Hamidah Qutb, bersama-sama seorang wanita yang sarat mengandung. Pada hari-hari awal di dalam kem tahanan tentera, mereka dihidangkan dengan roti kering yang disapu dengan najis. Mereka menahan kelaparan yang amat sangat. Mereka ditempatkan di tempat yang busuk lagi kotor. Mereka menjenguk keluar, manalah ada kiranya sisa-sisa makanan, ada pengawal penjara yang baik sedikit mencampakkan kulit-kulit pisang ke dalam sel kurungan, mereka ambil dan makan kulit-kulit pisang itu, mereka tidak sanggup memakan roti yang disapu dengan najis.
Zainab Al-Ghazali dipenjara di sebuah kem tahanan tentera yang terletak di pinggir kota Kaherah. Beliau melihat wanita-wanita yang telah rosak akhlaknya, mereka rosak kerana dadah dan arak, mereka telah kehilangan kehormatan mereka, akibat dari proses pembaratan yang dilakukan oleh rejim sosialis. Zainab Al-Ghazali dan saudara-saudaranya itu diberi layanan yang buruk, berbeza sama sekali layanan yang diberikan kepada wanita-wanita Yahudi yang ditangkap kerana kegiatannya sebagai "spy" adalah lebih baik daripada layanan yang diterima oleh Zainab Al-Ghazali, Hamidah Qutb dan saudara-saudara mereka yang lain.
Sehingga beberapa lama beliau ditahan, di satu pagi sekitar tahun 1973, beliau dipanggil dan ditunjukkan surat pembebasan. Betapa berat kakinya untuk meninggalkan saudaranya Hamidah Qutb, tapi apakan daya semuanya diserahkan kepada Allah SWT, kerana Allah SWT lebih berkuasa dari segala-segalanya. Tidak lama kemudian Hamidah pun dibebaskan. Menurutnya, satu perkara yang menguatkan beliau sanggup menanggung penyeksaan, kerana beliau sering berjumpa Rasulullah SAW dalam mimpinya. Oleh itu beliau yakin bahawa perjuangannya adalah benar dan jalan yang ditempuhinya adalah benar. Rasulullah SAW bersabda, “Syaitan diharamkan menyerupai ku.” Oleh itu ia bermimpi berjumpa Rasulullah SAW adalah satu perkara yang benar.
Demikianlah kisah Zainab Al-Ghazali, yang kini masih hidup, dan terus menjalankan tugas-tugas yang berat ini bersama-sama Mujahid-Mujahid yang lain untuk mengembalikan umat manusia dan alam ini kepada Islam. Berikutan dengan penangkapan beramai-ramai sahabat kita Ikhwan Muslimin oleh rejim Mendiang Anwar Sadat dan diteruskan oleh rejim Husni Mubarak (Zainab Al Ghazali) turut juga ditangkap, tapi kali ini ia hanya ditahan di rumah sahaja kerana dengan alasan sudah uzur. Semoga Allah SWT memelihara mereka.
Firman Allah SWT : [7:179]
Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.
Hadis Rasulullah SAW: Dari Abu Hurairah r.a, dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat Muslim)