12 Mac 2009

Nizar mohon menghadap Sultan Perak

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Hrkh) - Surat mohon menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi menyembahkan tiga resolusi yang diluluskan ketika sidang tegempar di bawah pokok di Ipoh, Selasa lalu telah difakskan kepada pihak Istana semalam.

Menurut Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Perak, Misbahul Munir surat tersebut telah dihantar secara faks pada pukul 12 tengah hari semalam.

"Saya sendiri memfakskan surat mohon menghadap Sultan kepada pihak istana tengah hari. Insya-Allah esok kita akan menghantar surat tersebut secara rasmi dengan menggunakan perkhidmatan pos laju pula," katanya kepada laman akhbar online.

Jelas Misbahul, kerajaan Pakatan Rakyat sedang menunggu tarikh menghadap untuk mempersembahkan tiga resolusi yang telah diluluskan minggu lalu.

"Kerajaan Pakatan Rakyat yakin kita akan dapat perkenaan untuk mohon menghadap Sultan Perak secepat mungkin," katanya.

Ditanya apakah kandungan surat yang dihantar itu, Misbahul berkata, surat tersebut merupakan prosedur yang perlu dilakukan bagi memohon perkenaan menghadap Sultan Perak.

"Tiga resolusi yang diluluskan dalam mesyuarat tergempar menjadi agenda utama kerajaan Pakatan yang mahu dipersembahkan kepada Sultan Perak," katanya.

Sumber: Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan